Thursday, 10 April 2014

Sayang Diam-Diam Bab 16

BAB 16

TERCUNGAP-CUNGAP nafas Lyssa apabila tersedar dari tidur. Jemari dibawa ke dahi dan serta-merta jemarinya terasa basah. Peluh. Tapi, apa yang Lyssa mimpikan tadi? Lyssa beristighfar sambil meraup wajahnya. Ini mesti kes terlupa nak baca doa tidur dan ayat Qursi. Tadi selepas tiba di rumah dan usai menunaikan solat fardhu, Lyssa terus rebah di atas katil.

"Ya Allah Ya Tuhanku.. Kau jauhkanlah aku daripada gangguan syaitan dan makhluk-Mu yang lain, Ya Allah.. Hanya kepada-Mu aku berlindung.." Doa diaminkan. Barulah dia terasa selamat. Tak kira apapun mimpi itu, Lyssa yakin mimpinya menakutkan.

Tekak terasa kering, Lyssa menolak selimut ke tepi. Sambil menguap, Lyssa keluar dari biliknya.

"Ya Allah, mengantuknya aku.." Lyssa menggeliat pula. Sampai di ruang tamu, Lyssa menekan suis lampu. Automatik ruang tamunya jadi terang-benderang. Semasa berlalu ke dapur, mata Lyssa terpandangkan satu objek di atas sofa rumah.

Lyssa kelipkan matanya berkali untuk mengecam objek yang agak panjang itu.

"Ya Allah!" Berlari Lyssa ke biliknya. Almari diselongkar, terjengah-jengah dia mencari selendang pashmina dan baju labuhnya bersama seluar slack. Tergopoh-gapah dia menyarung setiap satu itu ke tubuh.

"Mamat ni.. Layaknya kena cincang je!" Amarah diikutkan, Lyssa berlalu ke ruang tamu.

"Weh, Helmy! Bangun. Bangunlah!!" Bergema rumah dengan jeritan Lyssa tetapi mata Helmy masih lagi terpejam. Hantu pun tahu tidur ke? Lyssa semakin sakit hati. Dia masuk semula ke dalam bilik dan dua biji bantal diangkat keluar. "Bangun!!" Berkali-kali Lyssa pukul lelaki itu dengan bantal tetapi lolos.

Lyssa mengeluh sendiri. Inilah satu-satunya masalah kalau makhluk yang berbeza jisim, jirim.. Ha, apalagi istilah fizik yang ada? Semuanyalah!

"Helmy!!"

Meloncat Helmy dek jeritan Lyssa. Helmy menenyeh matanya sebelum memandang Lyssa dengan tanda tanya. "Kau dah kenapa? Terjerit-jerit? Ada perompak ke?" Tanyanya yang masih mamai.

"A ah. Memang ada."

"Hah? Mana?!" Sekali lagi Helmy terloncat, takut dengan perkataan perompak. Lyssa mencemih. Nak kata mamat ni sengal, rasa-rasanya dia dah lebih dari tahap sengal!

"Kau buat apa tidur kat sini? Eh, kau tahu tak ni rumah anak dara? Apsal nak tidur sini jugak?"

"Laa.. Aku ingatkan apa tadi. Aku ni kan 'hantu'. Tak boleh nak buat apa-apa kat kau. Dahlah, aku tidur dulu ye.."

"Helmy!"

"Apa lagi?" Ehh, sakit pula hati Helmy dengan Lyssa yang suka terjerit-jerit. Kalau dia manusia biasa seperti Lyssa, memang mulut itu disumbat dengan kain ataupun apa sahaja, asalkan dia berhenti menjerit. Sakit telinga!

"Kau jangan nak mengada, boleh tak?"

"Alaa, kau ni kecohlah. Kau ingat semalam aku tidur kat mana?"

"What?!"

Helmy tergelak kecil dengan riak terkejut Lyssa itu. Mulut yang sudah melopong buat dia tergerak hati untuk mengusiknya lagi. "Kang aku kiss kang.." Terbeliak mata Lyssa, tangannya menekup mulut sendiri.

"Kau.. Jangan dekat dengan aku." Terkedek-kedek Lyssa berlari masuk ke bilik dan melompat ke atas katil. Selimut ditarik hingga menutup seluruh tubuhnya.

'Helmy ni.. Arghhhhh!'



"LENA tidur semalam?" Sapaan Helmy tak ubah seperti jarum yang mencucuk hatinya. Lyssa pekakkan telinga, berpura tidak mendengar teguran Helmy. Mi segera jenama Maggi itu sengaja dikunyah kuat tanda protes.

"Tak habis lagi marah?"

"Hm.."

"Sorry.." ucap Helmy perlahan. Tetapi selepas itu dia segera memberi alasan untuk membela diri. "Aku bukannya sengaja nak tidur sini, dah takde tempat lain."

Garfu diletak di atas meja, tisu diambil untuk mengesat bibir. Manalah tahu kalau-kalau ada sisa comot.. Kemudian Lyssa genggam tisu tersebut. Seraut wajah Helmy ditenung.

"Siapa kau sebenarnya, Helmy? Aku nak tanya daripada hari tu, tapi tak sempat. Kau manusia macam aku ke? Ataupun kau sama dengan Syafiah?" Tak sampai hati untuk bertanya 'Kau dah mati ke?', Lyssa kaitkan nama Syafiah. Meski dia masih tak habis fikir bagaimana Helmy boleh dilihat dengan jelas, Lyssa tetap menerimanya dengan redha.

Satu lagi ciri-ciri yang membuatkan dia bertambah istimewa.

Helmy tertunduk, dia menggaru kepalanya membuatkan kening Lyssa hampir bertaut. Serius! Setiap gerak-geri Helmy sama seperti manusia biasa tetapi kenapa mereka tetap berbeza? Kenapa jasad Helmy tak dapat disentuh?

"Tak nak bagitau. Wekkk.." Hampir terjerit Lyssa bila 'hantu' di depannya menjelir lidah dan mata dibesarkan.

"Wehh, seriuslah!"

Helmy masih menjelir lidah, sengaja pula dia gerakkan kepala ke kanan dan kiri. Gaya mengejek yang berjaya menyakitkan hati Lyssa.

"Kau ni memang hantu, kan?"

"Lalalalala.." jawab Helmy lagi. Lyssa beristighfar panjang, dia mengurut dadanya sambil berpesan kepada hati supaya tidak mudah melatah. Lama-lama, Lyssa ketawa sama. Geli hati dengan rupa badut Helmy.

Tiba-tiba Helmy terdiam seribu bahasa. "Kenapa?" Tanya Lyssa. Jari telunjuk Helmy bawa ke bibir.

"Assalamualaikum!" Terdengar suara seorang perempuan memberi salam dari luar.

"Waalaikummussalam.." cepat-cepat Lyssa berjalan ke pintu. Jika sebelum ini dia perlu berlari ke bilik untuk mencapai kardigan dan tudung, sekarang tidak lagi. Kenapa? Sebab bermula dari semalam, secara rasminya Lyssa wajib memakai tudung dan baju berlengan panjang di dalam rumahnya sendiri.

"Eh, Saf.." bibir mengulum senyum tetapi hatinya seakan tidak ikhlas. Mendengar nama Saf disebut, air muka Helmy berubah. Dia kekal di tempatnya, tidak berganjak walau seinci.

Tak sampai seminit, Lyssa masuk semula bersama seseorang di sisinya. Safina Putri. Ada plastik Tesco berisi biskut dan roti. Itulah rutin bulanannya, datang ke rumah Lyssa dengan membawa makanan untuknya.

"Kau sihat?"

"Sihat, Alhamdulillah. Kau takde kelas ke hari ni?" Jawab Lyssa sambil tangannya mempelawa Safina duduk. Kemudian Lyssa berlalu ke dapur. Pintu peti sejuk dibuka, dua tin air Teh Krisantimum diambil.

Di ruang tamu, Lyssa jegilkan mata menyuruh Helmy mengawal diri. Jangan nak buat perangai mengada!

"Thanks.. Aku takde kelas.. Teringatkan kau, tu yang datang sini.." jawabnya sekaligus mengucapkan terima kasih bila tin air bertukar tangan. Sudah menjadi kebiasaan tetamu rumah ini untuk dihidangkan dengan air tin sahaja.

Lyssa duduk di sisi Safiah, buah tangan yang dibawa Safina tidak menarik minatnya.

"Eh, Saf. Papa aku tahu tak kau datang sini? Tak bising pulak dia?" Soalan Lyssa bukannya kerana dia prihatin tentang Razak sebaliknya dia teruja untuk mengetahui reaksi Razak. Adakah dia melarang keras Safina ataupun dia sekadar mengizinkan ataupun dia langsung tidak berperasaan. Hm, nombor tiga mungkin.

Teka-teki Lyssa terjawab dengan jawapan Safina. "Dia tak cakap apa-apa.." Automatik Lyssa tersenyum sinis. Oh, lupa pulak. Papa mana kisah dengan aku? Yang dia tahu, tiap-tiap bulan dia masukkan duit bermakna tanggungjawabnya sebagai seorang ayah sudah tertunai.

"Eh, Lyssa. Kau tak bosan ke duduk rumah je? Nak keluar tak? Jom, kita pergi jalan-jalan. Cuci mata kat luar.."

"Aaa? Hehe, tak perlu kot.. Aku dah terbiasa la macam ni. Kau tak payah risaulah.. By the way, study kau macam mana? Okay tak?" Mulut bertanya dengan senyuman sedang hati Lyssa merasa terkilan yang amat.

Sejak Lyssa memiliki keistimewaan itu, Razak melarang Lyssa menyambung pelajarannya. Penat dia merayu kepada Razak. Lyssa tak kisah kalau dia perlu keluar dari rumah, Lyssa juga tak kisah kalau dia dilarang pergi ke mana-mana tapi tolonglah faham, Lyssa tetap mahu meneruskan pengajiannya.

"No, you can't. That's it." Noktah. Tiada lagi rayuan atau 'petition' yang akan diterima bila Razak menggunakan kuasa vetonya.

"Alhamdulillah, okay je.. Kau tahu tak, Lyssa..." Safina mula bercerita tentang rakan dan pensyarah barunya. Bagaimana situasi universiti di tempat dia belajar. Mahu bernanah telinga Lyssa mendengarnya, hatinya jadi cemburu.


Sesekali Lyssa pandang Helmy dan Helmy tahu, air muka itu tanda Lyssa sedang bersedih.